Isnin, 8 Disember 2014

Himpunan Hadis - Hadis Rasullullah 13

Kelebihan Memberi Makan Kepada Orang Yang Berpuasa
Hadith :
Daripada Zaid bin Khalid al-Juhhani r.a,. daripada Nabi SAW sabdanya, “Sesiapa yang memberi makan (berbuka) kepada orang yang berpuasa, ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan pahala orang yang berpuasa itu tidak berkurangan walau sedikitpun”.
 
(At-Tirmidzi)

Puasa Sunat, Sembahyang Sunat, Dibulan Yang Dimuliakan
Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Puasa yang lebih utama selepas Ramadhan ialah puasa di dalam bulan Allah yang dimuliakan iaitu bulan Muharram. Manakala sembahyang sunat yang afdhal selepas sembahyang fardhu ialah sembahyang sunat di waktu malam (terutama di malam bulan Ramadhan)
 
(Muslim)

Puasa lidah
Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau pun diajak bermusuhan maka hendaklah ia berkata, “Sesungguhnya aku berpuasa hari ini”
 
(al-Bukhari dan Muslim)

Orang-orang Yang Berhak Menerima Zakat
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang fakir miskin (yang sangat menderita) bukanlah orang yang (menadah tangan) meminta- minta ke sana ke mari kepada orang ramai, yang apabila ia mendapat sesuap atau dua suap makanan, atau mendapat sebiji atau dua biji buah kurma – ia akan pergi ke tempat lain meminta lagi. Sebenarnya orang fakir miskin (yang sangat-sangat menderita) itu ialah orang yang tidak mempunyai sesuatu yang mencukupi sara hidupnya. Dan ia pula malu hendak meminta bantuan kepada orang ramai, dan orang ramai pula tidak mengetahui keadaan penderitaannya untuk diberi bantuan.( orang inilah yang sebenarnya layak diberi zakat)”
 
(Imam Ahmad)

Puasa Yang Berkat
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Berapa banyak orang yang berpuasa tetapi dia tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga.” 

 
Riwayat Ibnu Majah

Bersifat Pemurah Dibulan Ramadhan
Hadith :
“Daripada Ibnu Abbas r.a. katanya, bahawa Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang sangat pemurah kepada orang lain, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan ketika baginda didatangi oleh jibril a.s. Jibril datang berjumpa baginda pada setiap malam lalu mengajar al-Quran kepada Baginda. Sesungguhnya Baginda bersifat pemurah dengan bersegera melakukan kebaikan umpama angin yang bertiup kencang.”
 
(al-Bukhari dan Muslim)

Hidupkan Malam Ramadhan Dengan Qiamullail
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a berkata: “Adalah Rasulullah SAW menggalakkan qiyamullail (solat malam) di bulan Ramadhan tanpa memerintahkan secara wajib, baginda bersabda: “Sesiapa yang solat malam di bulan Ramadhan kerana beriman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka diampuni baginya dosa yang telah lalu.”

Puasa Penyelamat Dari Api Neraka
Hadith :
Daripada Abu Said al-Khudri r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak seorang pun daripada hamba Allah yang berpuasa sahari dengan niat kerana Allah, melainkan akan Allah jauhkan mukanya daripada kepanasan api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun lamanya.”
 
(al-Bukhari dan muslim)

Sunat Berbuka Dengan Kurma
Hadith :
Daripada Salman bin Amir Addabbi Assohaabi r.a. daripada Nabi s.a.w. bersabda: “Jika seseorang kamu berbuka, hendaklah ia berbuka dengan buah kurma. Sekiranya buah kurma tiada, bolehlah ia berbuka dengan air kosong. Sesungguhnya air itu bersih lagi suci”.
 
(Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Beriman Kepada Malaikat
Hadith :
Nabi s.a.w bersabda: "Sesungguhnya ada bagi Allah beberapa Malaikat yang berjalan di merata-rata bumi untuk menyampaikan salam kepadaku dari sesiapa di antara umatku yang memberi salam kepadaku, sekalipun jauh negeri orang itu dan tempat tinggalnya.
 
Abdillah bin Masud r.a

Selawat
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesiapa yang berselawat kepadaku dengan sesuatu selawat, sentiasalah Malaikat berdoa untuknya selama ia berselawat kepadaku; oleh itu terpulanglah kepada seseorang sama ada ia hendak berselawat sedikit atau banyak."
 
Amir bin Rabiah r.a

Tebusan Orang Islam
Hadith :
Dari Abu Musa r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Kelak di hari kiamat, Allah Taala mendorong setiap Yahudi atau Nasrani ke hadapan setiap orang Islam lalu firman-Nya:”Inilah tebusanmu dari api neraka.”
 
(Muslim)

Sebab Dilarang Melakukan Perbuatan Keji
Hadith :
Dari Abdullah r.a Rasulullah s.a.w bersabda.”Tidak ada yang lebih suka dipuji selain dari Allah S.W.T. Kerana itu Dia memuji diri-Nya sendiri. Dan tidak ada yang lebih cemburu daripada Allah. Kerana itulah dia melarang segala yang keji.”
 
(Muslim)

Solat Jenazah Di Dalam Masjid
Hadith :
Dari Abu Salamah bin Abdur Rahman r.a katanya:”Ketika Saad bin Abi Waqqas wafat, Aisyah berkata:”Bawalah jenazah itu ke adalam masjid supaya aku dapat mensolatkannya . Permintaan Aisyah itu diingkari oleh banyak orang. Lalu berkata Aisyah:”Demi Allah, Rasulullah s.a.w pernah solat jenazah dalam masjid untuk dua orang putera Baidha’ iaitu Suhail dan saudaranya.”
 
(Muslim)

Solat Sambil Duduk
Hadith :
Daripada Abdullah bin Syaqiq r.a bahawasanya dia bertanya kepada Aisyah r.a, katanya:”Adakah nabi s.a.w solat sambil duduk?” Jawab Aisyah:”Ada! Iaitu di hari-hari tua baginda.”
 
(Muslim)

Sedekah Yang Ditolak
Hadith :
Dari Ibnu ‘Umar r.a katanya:”Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Tidak diterima solat seseorang tanpa suci dan tidak diterima sedekah yang berasal daripada kejahatan (seperti mencuri, menipu, menggelapkan wang, merompak, judi dan sebagainya)”
 
(Muslim)

Dada Rasulullah S.a.w Dibelah
Hadith :
Dari Anas bin Malik r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Aku dibawa orang (Jibril a.s) ke telaga zamzam; di sana dadaku dibelah kemudian dibersihkan dengan air zamzam, sesudah itu aku dihantarkannya kembali ke tempatku semula.”
 
(Muslim)

Cara Solat Rasulullah s.a.w
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Apabila rasulullah s.a.w berdiri untuk rakaat kedua baginda terus membaca Fatihah tanpa diam terlebih dahulu sebentar.”
 
(Muslim)

Zakat Dan Rasulullah s.a.w
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Pada suatu waktu, ketika Hasan bin Ali masih kecil, dia pernah mengambil kurma dari tompokan kurma sedekah (zakat), lalu diletakkannya ke mulutnya. Maka bersabda Rasulullah s.a.w,:”Jijik, jijik, buang! Tidak tahukah kamu bahawa kita (keluarga Muhammad) tidak boleh memakan sedekah (zakat)?”
 
(Muslim)

Jangan Kedekut @ Tamak!
Hadith :
Asma’ r.a menerangkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda (kepada Asma): “Nafkahkanlah dan janganlah kamu menyempitkan sedekah yang menyebabkan Allah menyempitkan (tidak mengeluarkannya) untuk kamu.” Dan janganlah kamu menyembunyikan sesuatu dalam bungkusan yang kerananya Allah memutuskan berkatnya dan kesuburannya.”
 
(al-Bukhari dan Muslim)

Bahagianya Di Alam Syurga
Hadith :
Dari Anas bin Malik r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Di dalam syurga terdapat sebuah pasar yang didatangi penduduk syurga setiap hari Jumaat. Angin bertiup dari sebelah kanan menyentuh muka dan pakaian mereka, menyebabkan muka dan pakaiannya bertambah cantik, tampan dan indah. Ketika mereka pulang ke rumah didapatinya isteri mereka bertambah cantik dan indah. Kata mereka kepada isterinya, “Engkau sungguh-sungguh tambah cantik dan pakaianmu tambah indah sepeninggalanku.” Jawab isterinya, “Engkau demi Allah sungguh tambah tampan dan pakaianmu tambah indah pula sekembalimu.”
 
(Muslim)



Tiada ulasan:

Catat Ulasan